BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH

Sunday, November 30, 2008

Fikirlah supaya kita tidak terlambat!!!!!!

Sudah berdekad lamanya, tidak pernah pun sama ada JKKK Telok Kumbar atau pun JKKK Bukit Gemuroh meminta gerai, pondok dan bangunan milik Melayu dirobohkan. Kita faham yang membuka gerai hanya beberapa orang sahaja anak tempatan tetapi kerana satu bangsa dan satu agama kita tidak sampai hati melakukannya. Kita tahu yang berniaga kebanyakannya ahli PAS atau penyokong pembangkang tetapi kerana satu agama dan satu bangsa kita tak sampai hati membuat aduan untuk merobohkannya. Ada ketikanya, kita sendiri berjumpa ADUN supaya menghalang tindakan meroboh oleh pihak berkuasa tempatan.

Setelah Pakatan Rakyat memerintah negeri, JKKK Negeri ditubuhkan setiap kawasan atau kampung. Ada Pengerusi JKKK Negeri bukan anak tempatan, tidak dikenali dilantik oleh kerajaan negeri. Itu pun bukan jadi persoalannya. Dewan dan bangunan yang didirikan atas tanah kerajaan negeri telah diserahkan oleh JKKK lama tanpa ada masalah. Kita memahami bahawa tanah dan bangunan milik kerajaan negeri mesti dikembalikan kepada yang haknya. Kita bersedia dan rela menyerahkannya walaupun hati sangat berat untuk melakukannya.

Wahai ahli JKKK Negeri yang baru menjadi pemimpin masyarakat di kawasan JKKK Bukit Gemuroh ini. Janganlah bangunan milik bangsa kita untuk persatuan kita juga hendak 'dirampas'. Bangunan milik Kelab Sukan dan Rekreasi Kampung Nelayan dibina atas kebenaran Pejabat Tanah dan Daerah Barat Daya. Melalui peruntukan ADUN Bayan Lepas, terbinalah sebuah dewan untuk kegunaan pemuda dan remaja di kampung itu. Pemuda-pemuda Kampung Nelayan mula resah dan gelisah, gambar bangunan diambil oleh pemimpin JKKKN dan difahamkan bahawa JKKKN sedang berusaha untuk mengambil alih bangunan itu. Usahlah kita berdengki hati sesama kita dan tamak haloba. Bangunan JKKK Bukit Gemuroh yang baru siap dibina semasa pentadbiran JKKK lama masih perlu perhatian JKKKN yang ada sekarang. Meja dan kerusi untuk mesyuarat masih tidak ada. Perkemaskan bangunan yang sedia ada kerana bangunan sebesar itu pun belum nampak apa-apa yang dapat dibuat oleh JKKKN setakat ini.

Janganlah kita ego dan keghairahan bila mempunyai kuasa. Kuasa untuk menindas sesama kita. Kuasa untuk memecah belahkan masyarakat sebangsa dan seagama. Ingatlah kita semua akan rugi. Melayu PAS, Melayu PKR dan Melayu UMNO juga akan rugi jika pemimpin JKKKN bertindak demikian. Kita semua perlu sedar bahawa Melayu diasak sedemikian rupa akhir-akhir ini kerana Melayu berpecah. Mengapa kita berpolitik hingga wujud sikap berpuak-puak hingga takut nak bertegur sapa? Kawan yang baik sudah jadi musuh kerana politik. Melayu akan rugi, Islam tidak lagi dihormati. Suatu hari nanti Melayu akan hilang kuasa, tak guna lagi walaupun menangis air mata darah sekali pun. Nasi sudah jadi bubur. Terlajak perahu boleh berundur tapi terlajak cakap buruk padahnya. Sesal dahulu pendapatan dan sesal kemudian tidak berguna lagi.

Marilah kita bersatu demi bangsa dan agama. Lupakan perselisihan faham dan sengketa lama. Betapa gembiranya jika dahulu boleh bergelak ketawa semasa berjumpa. Kini semuanya telah lenyap kerana mungkinkah ideologi politik ke arah itu? Fikirlah supaya kita tidak terlambat!






Karom dalam Sukaneka

Nasyid Kg. Sulup

XPDC Berkayak Pantai Merdeka - Tlk Kumbar

Gotong Royong di Kg. Nelayan