BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH

Sunday, May 25, 2008

Peserta Kayak Cemas Bertarung Dengan Laut Bergelora


Pada 25 Mei 2008 jam 12.00 tgh, peserta-peserta latihan berkayak dari Kelab Seri Gemuroh Teluk Kumbar yang berjumlah 24 orang menjadi cemas ketika laut bergelora dengan arus yang deras menyebabkan hampir semua kayak yang dinaiki terbalik dan karam. Kejadian yang sungguh mencabar dan mendebarkan semua peserta itu berlaku semasa peserta menyeberangi selat Pulau Rimau.

Pemancing-pemancing ikan yang melihat dari daratan berbatu itu kelihatan amat terkejut dengan kejadian itu tetapi tidak dapat membantu. Kami faham perasaan mereka, gaya mereka pun cemas semasa memerhati kami yang sedang bertarung dengan laut yang bergelora dengan arus yang sangat deras. Peserta-peserta hampir panik apabila beberapa kayak diasak ombak ke batu tetapi tindakan pantas peserta-peserta kayak itu dihanyutkan jauh dari batu. Walaupun ada perahu nelayan yang melalui di tempat kejadian tetapi mereka hanya melihat peserta-peserta yang terapung cemas dalam air dengan kayak dan pendayung berselerakan di sana sini. Laungan mohon pertolongan tidak diendahkan mereka. Mungkin mereka adalah manusia-manusia yang tidak berhati perut.


Setelah beberapa minit bertarung dengan ombak dan arus yang deras itu, datang beberapa perahu nelayan dari Teluk Tempoyak menghampiri kami dan membantu kami ke pantai. Nelayan-nelayan dari Teluk Tempoyak telah menyelamatkan kami dan kami sangat terhutang budi kepada nelayan-nelayan ini. Kepada Allah s.w.t sahajalah yang dapat membalas jasa baik mereka yang tidak ternilai itu. Kelab Seri Gemuroh secara ikhlas ingin menghubungi nelayan-nelayan tersebut untuk berjumpa dan memberi sedikit penghargaan kerana sudi membantu secara ikhlas lebih-lebih lagi semasa orang lain dalam keadaan cemas. Peserta-peserta kayak dari Kelab Seri Gemuroh yang pernah mengikuti beberapa program yang lalu sudah berpengalaman dalam situasi cemas begini. Namun kepada Allah s.w.t jua tempat kita memohon pertolongan dan perlindungan dari segala bahaya dan kecelakaan. Akhirnya kira-kira jam 5.00 petang semua peserta telah selesai mengangkut kayak-kayak melalui jalan darat dari Kg. Teluk Tempoyak, Pulau Pinang ke Teluk Kumbar. Kami juga ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus membantu kami termasuklah Ketua Pemuda Kg. Sulup, Sdr Nor Azli Bahari, Che Ali Othman (Setiausaha Pemuda UMNO), Kak Imah (Ketua Wanita UMNO Cawangan Bukit Gemuroh), Pn Rahani Othman (Pengerusi Pertubuhan Wanita Kg. Sulup) serta Pn Suraya Che May (Bendahari Pertubuhan Wanita Kg. Sulup).

Friday, May 23, 2008

Kelab Seri Gemuroh Naib Johan Liga Bola Sepak DBD tahun 2008

Pada 14 Mei yang lalu, perlawanan akhir Kejohanan Liga Bola Sepak Daerah Barat Daya Tahun 2008 telah berlangsung di padang awam Kongsi, Balik Pulau. Perlawanan yang hebat dan sengit di antara pasukan Kelab Seri Gemuroh dengan pasukan Kelab Sejati berkesudahan dengan kemenangan memihak kepada pasukan dari Kelab Sejati. Beberapa insiden kecil telah berlaku dan beberapa pemain dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan tersebut. Pengadil perlawanan juga telah melayangkan kad merah kepada seorang pemain Kelab Seri Gemuroh telah memaksa pasukan tersebut bermain dengan sepuluh pemain hingga akhir perlawanan. Ucapan tahniah sepatutnya boleh diberikan kepada pasukan KSG walaupun gagal tetapi mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lawan. Pada ketika tertentu, pihak lawan menerima asakan bertali arus dari KSG. Walau bagaimanapun pihak penganjur kejohanan perlu memperbaiki lagi beberapa kelemahan supaya penganjuran akan datang kelihatan lebih adil dan dapat menarik minat lebih pasukan pasukan menyertainya.

Selamat Menunaikan Ibadah Umrah

Hari ini, Pengerusi JKKK(P) Bukit Gemuroh, Tuan Haji Nordin Ahmad dan isteri akan berangkat menunaikan ibadah umrah. Kami seluruh warga penduduk kawasan Bukit Gemuroh mendoakan beliau dan isteri sentiasa dalam rahmat Allah s.w.t. Semuga kedua-duanya selamat berangkat dan selamat kembali ke tanah air.

Thursday, May 15, 2008

Tahniah! Tahniah! Tahniah Pemain dan Penyokong Bola Sepak KSG






Pada 14 Mei, 2008 (Rabu) pasukan bola sepak Kelab Seri Gemuroh telah turun menentang pasukan MIC Balik Pulau di padang Kongsi Balik Pulau. Kesudahan dengan sepakan penalti dimenangi oleh pasukan MIC Balik Pulau dengan kelebihan 5-4. Namun kesilapan pasukan MIC memasukkan 2 pemain Bahagian 1 FAP telah menyebabkan kemenangan pasukan MIC menjadi tidak sah.


Mengikut jurucakap pasukan KSG, semua pemain-pemain telah beraksi dengan penuh semangat untuk kemenangan. Namun keletihan dan kurang kecergasan fizikal menyebabkan rentak permainan kadang-kadang didapati longgar dan pertahanan mudah dibolosi oleh pihak lawan. Suntikan semangat diberikan penyokong-penyokong setia KSG di sepanjang perlawanan itu menyebabkan pemain-pemain terus berusaha mencari kemenangan. Kemenangan berhasil kira-kira 13 minit sebelum masa permainan tamat. Gol tunggal berharga itu dijaringkan oleh Azhar Zakaria. Selepas sepak mula perlawanan, pemain-pemain dan penyokong tidak percaya dan terdiam bila penyerang pasukan lawan berjaya melurukan bola ke arah pintu gol akibat kealpaan penjaga gol KSG sendiri. Perlawanan separuh akhir Liga Bola Sepak Daerah Barat Daya itu berakhir dengan seri 1 - 1.


Walaubagaimana pun pujian boleh diberikan kepada penjaga gol KSG, Kahar Nazri yang berjaya menyelamatkan gawang melalui beberapa cubaan cemas pihak lawan. Kesebelasan pemain telah menunjukkan semangat juang yang tinggi hingga tamat perlawanan. Penyokong-penyokong setia diharap akan turun dengan jumlah yang lebih ramai dalam perlawanan akhir menentang Kelab Sejati dari Sg. Burong, Balik Pulau pada 18 Mei 2008 (Ahad) akan datang. KSG akan mengadakan satu jamuan untuk semua pemain dan penyokong pada 17 Mei 2008, Sabtu ini jam 9.00 malam di Dataran Seri Gemuroh. Jamuan tersebut diadakan bagi meraikan kemenangan pasukan KSG yang berjaya ke perlawanan akhir Liga Bola Sepak Daerah Barat Daya tahun 2008.

Tuesday, May 6, 2008

Sekitar Aktiviti Berkayak dan Berkelah Di Tg. Assam, Telok Kumbar







Latihan berkayak dianjurkan oleh Kelab Seri Gemuroh pada setiap hari Ahad telah berjalan dengan lancar. Latihan berkayak pada 4 Mei 2008 telah mendapat sokongan penduduk kampung yang mengadakan Jamuan Makan Tengah Hari di pantai Tg. Assam, Telok Kumbar. Semua peserta berkayak telah dijemput bersama-sama menikmati makan tengah hari. Dua siswi dari USM turut serta dalam latihan berkayak pada kali ini.

Monday, May 5, 2008

Majlis Suaikenal Dengan Penuntut USM





Suatu Majlis Suaikenal anjuran Gerakan Desa Wawasan Kg. Sulup telah diadakan pada 2 Mei 2008 jam 9.00 malam di Dataran Seri Gemuroh. Semua pengerusi dan AJK pertubuhan-pertubuhan telah hadir di majlis tersebut. Selain JKKKKP Bukit Gemuroh, Tuan Hj. Nordin Ahmad, turut hadir ialah En. Rozhan Che Din, Penyelia Kanan KEMAS Daerah Barat Daya. Majlis Suaikenal diadakan pada malam itu diadakan bagi memperkenalkan dua siswi USM iaitu Amiza bt. Zahari dan Nurul Wahida bt. Awang @ Hashim. Kedua-duanya berasal dari Negeri Kelantan tetapi sedang mengikuti praktikal selama kira-kira 2 bulan sebagai sebahagian keperluan kursus Pengajian Sains Sosial, USM Pulau Pinang. Kehadiran semua AJK pertubuhan yang ada di kawasan Gerakan Desa Wawasan Kg. Sulup telah memeriahkan lagi suasana majlis suaikenal pada malam itu. Setakat ini kedua-dua anak angkat kepada Kampung Gerakan Daya Wawasan ini telah pun mengikuti latihan berkayak mulai jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang. Buat permulaannya didapati kedua-dua mereka mudah mesra dan boleh menyesuaikan diri dengan komuniti di sini.

Sunday, May 4, 2008

Latihan Berkayak Kelab Seri Gemuroh



Kelab Seri Gemuroh (MAYC) Teluk Kumbar telah memulakan latihan berkayak sejak bulan awal April yang lalu. Latihan diadakan setiap hari Ahad. Penyertaan amat menggalakkan dari kalangan remaja lelaki dan perempuan. Kelab Cabaran Pulau Pinang telah memberi kerjasama dengan meminjamkan semua kayak yang disimpan di Pusat Latihan Sukan Air, JPNPP untuk digunakan bagi tujuan latihan. Latihan setiap minggu diadakan untuk memantapkan kayuhan para peserta dan mewujudkan semangat berpasukan serta ketahanan fizikal dan mental para peserta. Kelab Seri Gemuroh telah mengadakan dua program berkayak, iaitu:
i. XPDC Berkayak Pantai Merdeka - Teluk Kumbar selama 3 hari 2 malam.
ii. XPDC Berkayak Teluk Kumbar - Pulau Aman selama 2 hari 1 malam.
Bagi program yang ketiga, Kelab Seri Gemuroh akan mengadakan XPDC Berkayak Teluk Kumbar - Tanjung Bunga selama 2 hari 1 malam. Program tersebut dijangka akan diadakan dalam bulan Julai, 2008. Sebarang pertanyaan, sila hubungi Pengerusi, Kelab Seri Gemuroh, En. Aizar Md. Said, Tel. Bimbit No.016-4830551.

JKKKP ganti JKKK di Pulau Pinang mulai Mei 2008


Semua penghulu dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Pulau Pinang yang meletak akan diserap ke dalam Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebagai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Kementerian tidak memaksa mereka meletak jawatan, Menteri berkenaan berkata, penghulu dan JKKK itu akan dilantik semula sehari selepas meletakkan jawatan akhir April ini.

Beliau percaya ramai penghulu dan ahli JKKK negeri ini bercadang berbuat demikian kerana tidak selesa berikutan peralihan kuasa selepas pilihan raya umum lalu.

Ketika ini, ada 149 ketua kampung yang masing-masing mempunyai ahli JKKK antara 15 hingga 18 orang, menjadikan jumlah keseluruhan JKKK di negeri ini kira-kira 4,000 orang.

TS Muhammad berkata, kerajaan melalui kementeriannya perlu membela mereka jika meletak jawatan kerana golongan itu banyak berjasa kepada rakyat dan kerajaan. Dan mereka yang meletak jawatan dan diserap ke dalam kementeriannya tidak akan menimbulkan kekeliruan kerana mereka sudah matang dan bijak. Katanya lagi, ini perkara biasa. Ia juga pernah berlaku di Terengganu, Kelantan dan Sabah," katanya.


Karom dalam Sukaneka

Nasyid Kg. Sulup

XPDC Berkayak Pantai Merdeka - Tlk Kumbar

Gotong Royong di Kg. Nelayan