BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH

Sunday, May 25, 2008

Peserta Kayak Cemas Bertarung Dengan Laut Bergelora


Pada 25 Mei 2008 jam 12.00 tgh, peserta-peserta latihan berkayak dari Kelab Seri Gemuroh Teluk Kumbar yang berjumlah 24 orang menjadi cemas ketika laut bergelora dengan arus yang deras menyebabkan hampir semua kayak yang dinaiki terbalik dan karam. Kejadian yang sungguh mencabar dan mendebarkan semua peserta itu berlaku semasa peserta menyeberangi selat Pulau Rimau.

Pemancing-pemancing ikan yang melihat dari daratan berbatu itu kelihatan amat terkejut dengan kejadian itu tetapi tidak dapat membantu. Kami faham perasaan mereka, gaya mereka pun cemas semasa memerhati kami yang sedang bertarung dengan laut yang bergelora dengan arus yang sangat deras. Peserta-peserta hampir panik apabila beberapa kayak diasak ombak ke batu tetapi tindakan pantas peserta-peserta kayak itu dihanyutkan jauh dari batu. Walaupun ada perahu nelayan yang melalui di tempat kejadian tetapi mereka hanya melihat peserta-peserta yang terapung cemas dalam air dengan kayak dan pendayung berselerakan di sana sini. Laungan mohon pertolongan tidak diendahkan mereka. Mungkin mereka adalah manusia-manusia yang tidak berhati perut.


Setelah beberapa minit bertarung dengan ombak dan arus yang deras itu, datang beberapa perahu nelayan dari Teluk Tempoyak menghampiri kami dan membantu kami ke pantai. Nelayan-nelayan dari Teluk Tempoyak telah menyelamatkan kami dan kami sangat terhutang budi kepada nelayan-nelayan ini. Kepada Allah s.w.t sahajalah yang dapat membalas jasa baik mereka yang tidak ternilai itu. Kelab Seri Gemuroh secara ikhlas ingin menghubungi nelayan-nelayan tersebut untuk berjumpa dan memberi sedikit penghargaan kerana sudi membantu secara ikhlas lebih-lebih lagi semasa orang lain dalam keadaan cemas. Peserta-peserta kayak dari Kelab Seri Gemuroh yang pernah mengikuti beberapa program yang lalu sudah berpengalaman dalam situasi cemas begini. Namun kepada Allah s.w.t jua tempat kita memohon pertolongan dan perlindungan dari segala bahaya dan kecelakaan. Akhirnya kira-kira jam 5.00 petang semua peserta telah selesai mengangkut kayak-kayak melalui jalan darat dari Kg. Teluk Tempoyak, Pulau Pinang ke Teluk Kumbar. Kami juga ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus membantu kami termasuklah Ketua Pemuda Kg. Sulup, Sdr Nor Azli Bahari, Che Ali Othman (Setiausaha Pemuda UMNO), Kak Imah (Ketua Wanita UMNO Cawangan Bukit Gemuroh), Pn Rahani Othman (Pengerusi Pertubuhan Wanita Kg. Sulup) serta Pn Suraya Che May (Bendahari Pertubuhan Wanita Kg. Sulup).


Karom dalam Sukaneka

Nasyid Kg. Sulup

XPDC Berkayak Pantai Merdeka - Tlk Kumbar

Gotong Royong di Kg. Nelayan