BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH

Saturday, January 17, 2009

Kumpulan Permbangunan Wanita Bukit Gemuroh

Difahamkan Kumpulan Pembangunan Wanita (KPW) Bukit Gemuroh atas nama RNS akan beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi. Permulaannya KPW Bukit Gemuroh ini akan beroperasi di sebelah rumah En. Noorazli Bahari di Jalan Gertak Sanggul, Telok Kumbar. Dengan bantuan kerajaan, KPW Bukit Gemuroh telah menerima beberapa alatan termasuklah peti sejuk, 'oven', 'mixer' dan sebagainya. Ahli-ahli wanita yang terlibat secara langsung ialah Rohila Ismail, Rahimah Hamad, Rahani Othman, Rodziah Haraun dan Suraya Che May. Ahli KPW sedang mendengar tunjuk ajar dari pegawai agensi kaedah mengendali oven. Penubuhan KPW ini merupakan suatu lembaran baru kepada kumpulan wanita kawasan ini agar merebut peluang yang ada untuk memajukan diri dan meningkatkan taraf hidup dan pendapatan keluarga.














Tuesday, January 6, 2009

KOMPLEKS MAKANAN TELUK KUMBAR

GEORGETOWN: Kompleks Makanan Teluk Kumbar dekat sini, yang terbiar sejak dua tahun lalu dibangunkan semula sebagai Dewan Serbaguna untuk kemudahan kira-kira 7,000 penduduk setempat. Projek pemulihan bangunan itu dilaksanakan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Kampung Nelayan Sungai Batu membabitkan kos kira-kira RM70,000. Penasihat kelab itu, Dr Azrul Abd Manaf, berkata bangunan milik JKP Sdn Bhd itu akan digunakan sebagai pusat perjumpaan penduduk, selain menganjurkan kegiatan sukan air.
"Kita akan menjadikan kawasan ini sebagai pusat tumpuan ramai dengan membina chalet dan kemudahan untuk sukan air seperti berkenu," katanya ketika ditemui di Kampung Nelayan Teluk Kumbar dekat sini, kelmarin. Beliau berkata, dewan serba guna itu juga boleh digunakan oleh penduduk untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan, mesyuarat dan kegiatan kemasyarakatan lain. "Kami berharap dewan serba guna itu akan dapat memulihkan imej kawasan sekitar yang sebelum ini dikatakan menjadi sarang penagih dadah," katanya.
Sebelum ini, kira-kira 20 peniaga yang beroperasi di kompleks itu 'gulung tikar' kerana menghadapi masalah kewangan kerana perniagaan mereka tidak mendapat sambutan. Ini kerana kompleks yang terletak berhampiran pantai berada dalam keadaan amat menyedihkan. Wakaf yang disediakan juga berada dalam keadaan uzur. Seorang penduduk, Ridzuan Mohd Noor, 42, menyambut baik usaha kelab untuk memulihkan kembali kawasan itu untuk kegunaan orang ramai. "Adalah merugikan apabila kompleks makanan ini terus terbiar sehingga disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Sumber: Berita Harian 5 Januari 2009

Friday, January 2, 2009

Pendapatan Nelayan Kecil dari Telok Kumbar dan Sungai Batu Terjejas!!


Jambatan Kedua Pulau Pinang berharga RM3 bilion, iaitu salah satu projek penting di bawah RMK-9, yang menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di bahagian pulau dijangka siap pada 2011 dan ia bakal menjadi pemangkin utama kepada pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Apabila siap kelak, jambatan sepanjang 24 kilometer itu dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang dan merupakan jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan antara 10 terpanjang di dunia.


Dalam ruangan ini, saya bagi pihak nelayan-nelayan kecil pantai di Telok Kumbar dan Sungai Batu ingin melahirkan rasa kecewa kerana pendapatan dari hasil penangkapan ikan semakin terjejas. Hasil tangkapan semakin kurang hingga ada di antara mereka sudah tidak ke laut kerana tidak mahu terus menanggung kerugian.

Menurut salah seorang nelayan yang ditemui berkata, " Macam mana kita nak tahan pukat, kapal pengangkut sentiasa menggunakan laluan dekat, kawasan nelayan menangkap ikan". Beliau memberitahu bahawa kapal-kapal pengangkut ini kira-kira 8 buah sepatutnya melalui laluan tengah laut, bukan menghampiri pulau Kendi dan Pulau Rimau. Inilah kawasan tangkapan nelayan-nelayan pantai di sini. Dan difahamkan bahawa ada kapal-kapal pengangkut membuang lumpur ke dalam laut semasa melalui di situ.

Oleh itu saya bagi pihak nelayan di kawasan ini merayu agar pihak-pihak berkuasa berkaitan dengan isu ini dapat mengambil tindakan yang sewajarnya. Mereka telah lama bersabar dan tindakan kapal-kapal yang menggunakan laluan singkat (short-cut) seolah-olah merampas kawasan tangkapan tradisi mereka sejak sekian lama. Pihak kontraktor, Jabatan Laut, Jabatan Alam Sekitar, Polis Marin dan Persatuan Nelayan perlu mengambil langkah menangani masalah ini supaya nasib nelayan-nelayan dan keluarga mereka terbela. Golongan nelayan kecil ibarat kata pepatah Melayu, "Kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petang" perlu mendapat pembelaan segera dari semua pihak yang bertanggungjawab.


Karom dalam Sukaneka

Nasyid Kg. Sulup

XPDC Berkayak Pantai Merdeka - Tlk Kumbar

Gotong Royong di Kg. Nelayan