BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH

Sunday, December 28, 2008

Pasukan Bola Sepak Kelab Seri Gemuroh siap sedia beraksi di Kompleks Selayang Mall




Pasukan Bola Sepak Kelab Seri Gemuroh bersiap sedia untuk bertolak ke Selangor bagi menyertai peringkat akhir Kejohanan Sport City Cup tahun 2008. Difahamkan 12 pasukan akan mengambil bahagian mewakili negeri Pulau Pinang dan Selangor. Pasukan Kelab Seri Gemuroh telah memperolehi tampat ketiga semasa peringkat awal kejohanan diadakan di Pulau Pinang. Kejohanan Bola Sepak pada peringkat akhir diadakan pada 27 Disember 2008 di Kompleks Selayang Mall. Dengan semangat gigih dari utara pasukan Kelab Seri Gemuroh telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada peringkat awal kejohanan tersebut. Namun keputusan tidak menyebelahi pasukan KSG cuma kalah hanya dengan tendangan penalti semasa peringkat separuh akhir kejohanan. Walaubagaimana pun satu pujian patut diberikan kepada pengurus, jurulatih serta semua pemain yang bekerja keras selama ini untuk memastikan pasukan bola sepak KSG akan terus menggilap nama.

Sukan Rakyat Anjuran Kelab Sukan Kg. Nelayan, Telok Kumbar
















Pada 20 Disember 2008, Kelab Sukan Kg. Nelayan telah menganjurkan sukan di hadapan KOmpleks Niaga JKPSB Kg. Nelayan (Tepi Laut) Teluk Kumbar. Pelbagai acara diadakan melibatkan kanak-kanak dan juga orang dewasa. Amat meriah dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Kehadiran penonton yang begitu ramai menggambarkan penduduk Kg. Nelayan dan sekitarnya amat dahagakan aktiviti seumpama ini. Sekalung tahniah patut diberikan kepada Penganjur Program, Sdr Ahmad Safri, Pengerusi Kelab Sukan Kg. Nelayan. Teruskan usaha murni ini yang boleh menghimpunkan masyarakat tanpa mengira ideologi politik. Sebenarnya orang ramai sudah bosan dengan program-program sukan dan kemasyarakatan berunsurkan politik.

Tuesday, December 23, 2008

Konvoi Keluarga Bahagia Pulau Pinang - Terengganu

Malam ini jam 11.00 malam, semua peserta berkenderaan Konvoi Keluarga Bahagia Pulau Pinang - Terengganu akan bersiap sedia untuk bertolak bermula di gelanggang sepak takraw, Kg. Sulup. KKB telah dianjurkan oleh JKKK Bukit Gemuroh semenjak 3 tahun berturut-turut dengan berkonsepkan satu kereta - satu keluarga - satu khemah. Banyak aktiviti akan diadakan semasa di Terengganu seperti kerja kebajikan/goyong royong, lawatan sambil belajar, diskusi, senaman pagi dan memancing. Jumlah peserta atau kenderaan dihadkan tidak melebihi 13 buah kerana keselamatan setiap peserta amat diutamakan dalam program ini. Peserta konvoi akan bertolak jalam 12.00 tengah malam dan dijangka sampai di Hutan Lipur Lata Belatan kira-kira jam 8.00 pagi. Semoga setiap peserta sentiasa dalam keadaan selamat.

Monday, December 8, 2008

Surau Taman Sahabat tempat penyatuan ummah???????

Assalamualaikum.
Saya mengingatkan kembali titah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dalam Persidangan Ke-161 MAIAMP di Kompleks Islam Darul Ridzuan yang mahukan masjid dan surau dikawal dan ditegah daripada menjadi tempat persengketaan ummah sebaliknya institusi dijadikan tempat penyatuan dan membina persaudaraan sesama insan. "Tempoh hayat manusia terlalu singkat untuk dibazirkan dengan bersengketa," titah Raja Nazrin yang mahu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) bertegas dalam memastikan masjid dan surau di negeri itu bebas daripada pengaruh mana-mana kumpulan yang mengamalkan fahaman sempit atau fahaman politik berparti.
Sepatutnya kita mengambil contoh kehebatan Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah sebagai pusat penyatuan ummah dari pelbagai negara, pelbagai kaum, pelbagai budaya, pelbagai bahasa, pelbagai mazhab dan pelbagai fahaman, bersandarkan kalimah syahadah, berpenghulukan Rasul yang sama, berkiblatkan Kaabah yang sama dan berpegang kitab yang sama.
Baru pagi tadi, sebelum solat sunat Aidil Adha, Pengerusi Qaryah Masjid Telok Kumbar Dato' Muhammad Idiris Hj Salleh telah memberi ingatan yang agak keras kepada pihak tertentu yang menggunakan surau untuk tujuan kepartian. Beliau menegaskan bahawa surau dan masjid adalah tempat penyatuan ummah, yang berbeda fahaman politik, sama ada UMNO, PKR, DAP atau pun PAS ditegahkan menggunakan surau untuk kepentingan parti tertentu.
Jika tidak ramai ahli qaryah ke surau itu, bukan kerana jahil atau malas ke surau itu sebaliknya kerana penguasa surau itu yang menjadikan rumah Allah itu sebagai rumah ibadat untuk selera kumpulan tertentu. Penguasa surau itu hanya lebih berminat menjadikan surau itu untuk ahli PAS dan penyokong PAS semata-mata. Bebas menggunakan kemudahan surau itu untuk tujuan kepartian. Penguasa surau tidak berminat untuk menjadikan rumah Allah itu tempat semua ahli qaryah berhimpun dan berjemaah. Penguasa surau itu sama ada sedar atau tidak sedar telah mewujudkan persengketaan dan perpecahan sesama sendiri. Kepimpinan surau tidak ikhlas dan tidak jujur kepada setiap ahli qaryah. Tiada nawaitu untuk melihat ahli qaryah hidup bersatu padu tanpa kira fahaman politik. Mereka sanggup melihat Melayu dan Islam diasak dan diganyang oleh kaum dan bangsa lain. Melayu semakin hilang kuasa kerena bersengketa sesama sendiri, Islam tidak lagi dihormati malahan dipermainkan oleh kaum lain kerana Melayu tidak bersatu. Tiada siapa yang untung, umat Islam termasuklah ahli PAS, PKR dan DAP tetap akan menerima musibahnya.
Sepatutnya kita boleh bersatu sebab Islam itu bersaudara. Islam menyeru ke arah kebaikan, perdamaian dan kejayaan. Ketepikan ideologi politik kepartian kerana pengikut yang terlalu fanatik dan melulu akan merugikan kita semua. Kadang-kadang kita keterlanjuran dan keterlaluan yang boleh membawa kepada kehancuran. Jangan kita mencari kesalahan orang lain, lihatlah sesekali diri kita sendiri. Janganlah mudah percaya cakap orang, kaji dan siasatlah sebelum kita mempercayainya. Sempena Hari Raya Qurban ini bersatulah kita, elakkan perselisihan, carilah perdamaian dan ketepikan politik seketika kerana politik keterlaluan telah terbukti merugikan kita semua.
Wallahu alam.

Ibadat Korban di Kampung Sulup





Ibadat korban telah selamat disempurnakan oleh penduduk Kampung Sulup kira-kira jam 11.30 pagi berhampiran gelanggang sepak takraw. Sejak 4 tahun yang lalu, Kelab Seri Gemuroh (MAYC) Telok Kumbar telah menjadikan ibadat korban ini sebagai salah satu aktiviti kelab. Semangat bergotong royong masih hidup subur di kalangan penduduk. Mereka akan keluar membantu melaksanakan kerja-kerja menyembelih, melapah, mencincang dan menimbang dan sebagainya dengan jujur dan ikhlas. Seperti biasa, golongan wanita pula akan menyediakan minuman dan makan pagi untuk semua penduduk yang turut hadir. Kerjasama dan sokongan pertubuhan-pertubuhan seperti ini adalah antara faktor yang menyumbangkan kepada kejayaan kampung ini.

Monday, December 1, 2008

MAJLIS PENGHAYATAN ISLAM










Pada 6 Disember 2008, Jawatankuasa Kawasan Kg. Sulup, Pertubuhan Wanita Qaryah Kg. Sulup serta Kelab Seri Gemuroh akan menganjurkan Majlis Penghayatan Islam. Jawatankuasa Dakwah dan Bina Insan Daerah Barat Daya telah bersetuju untuk membiayai majlis itu.

Sesuai dengan nama majlis, pihak urusetia akan mengadakan majlis tahlil, kenduri, marhaban, berdah, bacaan al Quran dan ceramah agama. Semua penduduk Kg. Sulup tuan dan muda dijemput hadir beramai-ramai. Johan Tilawah Al Quran Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan Tahun 2006 akan dijemput untuk memperdengarkan bacaan al Qurannya. Manakala Pihak urusetia beranggapan bahawa amat rugi jika kesempatan terbaik ini tidak diambil peluang oleh setiap penduduk di kawasan ini.

Sunday, November 30, 2008

Fikirlah supaya kita tidak terlambat!!!!!!

Sudah berdekad lamanya, tidak pernah pun sama ada JKKK Telok Kumbar atau pun JKKK Bukit Gemuroh meminta gerai, pondok dan bangunan milik Melayu dirobohkan. Kita faham yang membuka gerai hanya beberapa orang sahaja anak tempatan tetapi kerana satu bangsa dan satu agama kita tidak sampai hati melakukannya. Kita tahu yang berniaga kebanyakannya ahli PAS atau penyokong pembangkang tetapi kerana satu agama dan satu bangsa kita tak sampai hati membuat aduan untuk merobohkannya. Ada ketikanya, kita sendiri berjumpa ADUN supaya menghalang tindakan meroboh oleh pihak berkuasa tempatan.

Setelah Pakatan Rakyat memerintah negeri, JKKK Negeri ditubuhkan setiap kawasan atau kampung. Ada Pengerusi JKKK Negeri bukan anak tempatan, tidak dikenali dilantik oleh kerajaan negeri. Itu pun bukan jadi persoalannya. Dewan dan bangunan yang didirikan atas tanah kerajaan negeri telah diserahkan oleh JKKK lama tanpa ada masalah. Kita memahami bahawa tanah dan bangunan milik kerajaan negeri mesti dikembalikan kepada yang haknya. Kita bersedia dan rela menyerahkannya walaupun hati sangat berat untuk melakukannya.

Wahai ahli JKKK Negeri yang baru menjadi pemimpin masyarakat di kawasan JKKK Bukit Gemuroh ini. Janganlah bangunan milik bangsa kita untuk persatuan kita juga hendak 'dirampas'. Bangunan milik Kelab Sukan dan Rekreasi Kampung Nelayan dibina atas kebenaran Pejabat Tanah dan Daerah Barat Daya. Melalui peruntukan ADUN Bayan Lepas, terbinalah sebuah dewan untuk kegunaan pemuda dan remaja di kampung itu. Pemuda-pemuda Kampung Nelayan mula resah dan gelisah, gambar bangunan diambil oleh pemimpin JKKKN dan difahamkan bahawa JKKKN sedang berusaha untuk mengambil alih bangunan itu. Usahlah kita berdengki hati sesama kita dan tamak haloba. Bangunan JKKK Bukit Gemuroh yang baru siap dibina semasa pentadbiran JKKK lama masih perlu perhatian JKKKN yang ada sekarang. Meja dan kerusi untuk mesyuarat masih tidak ada. Perkemaskan bangunan yang sedia ada kerana bangunan sebesar itu pun belum nampak apa-apa yang dapat dibuat oleh JKKKN setakat ini.

Janganlah kita ego dan keghairahan bila mempunyai kuasa. Kuasa untuk menindas sesama kita. Kuasa untuk memecah belahkan masyarakat sebangsa dan seagama. Ingatlah kita semua akan rugi. Melayu PAS, Melayu PKR dan Melayu UMNO juga akan rugi jika pemimpin JKKKN bertindak demikian. Kita semua perlu sedar bahawa Melayu diasak sedemikian rupa akhir-akhir ini kerana Melayu berpecah. Mengapa kita berpolitik hingga wujud sikap berpuak-puak hingga takut nak bertegur sapa? Kawan yang baik sudah jadi musuh kerana politik. Melayu akan rugi, Islam tidak lagi dihormati. Suatu hari nanti Melayu akan hilang kuasa, tak guna lagi walaupun menangis air mata darah sekali pun. Nasi sudah jadi bubur. Terlajak perahu boleh berundur tapi terlajak cakap buruk padahnya. Sesal dahulu pendapatan dan sesal kemudian tidak berguna lagi.

Marilah kita bersatu demi bangsa dan agama. Lupakan perselisihan faham dan sengketa lama. Betapa gembiranya jika dahulu boleh bergelak ketawa semasa berjumpa. Kini semuanya telah lenyap kerana mungkinkah ideologi politik ke arah itu? Fikirlah supaya kita tidak terlambat!





Sunday, November 9, 2008

Demontrasi Masakan Kemas DBD



Pada hari ini, 9 November 2008 jam 3.00 petang di rumah Pengerusi Pertubuhan Wanita Qaryah Kampung Sulup, Rahani Othman telah diadakan Demontrasi Masakan anjuran Kemas Daerah Barat Daya. Kira-kira 30 ahli wanita pertubuhan telah hadir mengikut tunjukcara masakan Ban Jagung dan Makaroni Bakar.

Sunday, October 26, 2008

Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2008






Semua penduduk di kawasan JKKK Bukit Gemuroh dijemput hadir beramai-ramai ke Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran bersama Pertubuhan Wanita Qaryah Kg. Sulup dan JKKK(P) Bukit Gemuroh pada 27 Oktober 2008, mulai jam 2.30 petang hingga 6.00 petang. Rumah Terbuka itu akan diadakan di Gelanggang Sepak Takraw Kg. Sulup. Pelbagai jenis makanan dan minuman disediakan untuk orang ramai. YB Tuan Syed Amerruddin Dato' Syed Ahmad, ADUN Bayan Lepas dijangka hadir ke majlis berkenaan.

Thursday, October 9, 2008

Solat Hajat dan Bacaan Yaasin Sempena PMR dan SPM 2008




Pada 9 Okt.2008 jam 7.00 malam, Pengerusi dan Setiausaha JKKK(P) Bukit Gemuroh telah dijemput bersama ibu bapa dan pelajar-pelajar SMK Teluk Kumbar II ke Program Solat Hajat dan Bacaan Yaasin sempena PMR dan SPM tahun 2008. Program tersebut telah dianjurkan oleh pihak sekolah dan Ustaz Muhamad Md. Zain, Imam Masjid Teluk Kumbar telah dijemput untuk memimpin bacaan Yaasin dan solat Hajat. Turut hadir ke program tersebut ialah Pengerusi PIBG, En. Mohd Faiz Khan Abdullah, guru-guru dan ibu bapa/waris serta Tn Haji Tajuddin, Ketua Kampung Sulup. Kehadiran waris dan pelajar dalam majlis itu pada tahun ini tidak begitu ramai mungkin keadaan hujan lebat yang turun kira-kira 20 minit sebelum program itu berlangsung. Pihak sekolah telah menyampaikan ucapan penghargaan terima kasih kepada para jemputan terutama Tuan Hj. Muhamad Md. Zain serta waris-waris pelajar yang sudi hadir ke majlis tersebut.

Tuesday, September 30, 2008

Lagi Berita Banjir Di Kawasan Teluk Kumbar

TELUK KUMBAR 30 Sept. - Keadaan banjir semakin bertambah buruk terutama di kawasan Kg. Masjid berhampiran Perumahan Bandar Baru Perda dan SK Seri Bayu. Hasil lawatan bersama YB Tuan Syed Amerruddin Dato Syed Ahmad, ADUN Bayan Lepas pada jam 11.45 pagi tadi, kebanyakan rumah penduduk di kawasan kampung berkenaan ditenggelami air sekitar 2.5 kaki hingga 3.5 kaki tinggi. Kejadian banjir kali kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan. Kejadian banjir kali pertama berlaku pada tahun ini pada 5 September 2008 yang lalu. Banyak rumah di beberapa buah kampung terlibat dengan banjir besar itu.
YB Syed Amerruddin Dato' Syed Ahmad sempat melawat mangsa banjir di Kg. Nelayan dan Kg. Masjid. Beberapa orang penduduk telah mengemukakan pandangan punca kejadian banjir. Di samping kejadian hujan lebat yang 'luar biasa', masalah perparitan yang sempit telah menyumbangkan kejadian limpahan air ke kawasan-kawasan rendah sekitar parit dan sungai. Dalam masa yang sama, YB Syed Amerruddin telah menghubungi Bilik Gerakan Banjir Daerah Barat Daya untuk mengetahui jenis bantuan yang boleh diberikan kepada keluarga mangsa banjir. Berdasarkan maklumat dari Bilik Gerakan Daerah, pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat akan memberi bantuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir.
Walau bagaimanapun, paras air semakin surut mulai jam 12.30
tengah hari setelah hujan mulai turun renyai dan berhenti dalam tempoh yang agak lama. Jika keadaan ini berterusan, kenaikan paras air laut yang mulai pasang tidak akan begitu membimbangkan penduduk sekitar sungai.
Difahamkan hujan yang berterusan dengan lebat sejak awal pagi tadi juga menyebabkan kejadian banjir di beberapa buah kampung seperti Kg. Padang, Kg. Seronok, Kg. Manggis, Kongsi di Balik Pulau.
Menurut seorang penduduk tempatan yang ditemui kejadian banjir besar pernah berlaku sebelum ini pada 5 Sept.1996 dan pada tahun ini dalam tempoh bulan Ramadan telah berlaku sebanyak dua kali iaitu 5 Sept. 2008 dan 30 Sept. 2008. Beliau memahami bahawa segala kejadian yang berlaku ini, salah satu ujian Allah s.w.t kepada kita yang akan mengakhiri sebulan berpuasa keesokannya.






















Penduduk bimbang: Hujan yang lebat secara berterusan sejak semalam.

Jam 2.45 pagi semalam, Pengerusi dan Setiausaha JKKKP Bukit Gemuroh dan bersama beberapa AJK dari Kg. Sulup dan Kg. Nelayan masih meninjau keadaan kawasan mudah banjir di kampung-kampung kawasan JKKKP Bukit Gemuroh seperti Kg. Sulup dan Kg. Nelayan. Beberapa buah rumah di Kg. Nelayan, kelihatan penduduk telah bersiap sedia menyelamatkan motorsikal dan peralatan rumah masing-masing. Air deras dari Sungai Teluk Kumbar dan Sungai Kg. Sulup telah mulai melimpahi di kawasan-kawasan rendah sekitar sungai-sungai berkenaan. Keadaan air laut yang masih pasang ketika itu boleh memburukkan lagi keadaan banjir kilat.
Pada jam 9.00 pagi ini, hujan didapati turun dengan amat lebat kira-kira 30 minit. Oleh kerana air laut keadaan surut ketika ini menyebabkan limpahan air sungai tidak berlaku. Walau bagaimanapun, Pengerusi JKKK(P) Bukit Gemuroh, Hj. Nordin Ahmad telah menghubungi JPS Daerah Barat Daya supaya pihak berkenaan dapat memantau dan memeriksa pintu air di kuala Sungai Teluk Kumbar agar berfungsi dengan baik. Semua penduduk dinasihatkan agar bersabar terutama dalam bulan Ramadan ini mungkin ini suatu ujian Allah swt. dan sentiasalah dalam keadaan berjaga-jaga agar dokumen-dokumen penting dan harta-harta yang berharga dalam keadaan yang selamat. JKKKP Bukit Gemuroh akan sentiasa memantau perkembangan agar bantuan awal dapat dilakukan serta merta.
Semasa pemimpin-pemimpin JKKK(P) Bukit Gemuroh meninjau perkembangan banjir di kawasan berkenaan, ada beberapa penduduk merungut berkaitan dengan bantuan mangsa banjir. Banyak lagi keluarga mangsa banjir yang lalu belum menerima sebarang bantuan banjir yang telah diberikan oleh PKR atau kerajaan negeri sebanyak RM80.00 kepada setiap keluarga mangsa banjir. Dari sumber yang lain menyatakan wang sebanyak itu diberikan sebagai duit raya. Persoalannya kenapa duit raya itu diberikan kepada mangsa-mangsa banjir sahaja yang menjadi penyokong parti PR.
Sehingga jam 10.30 pagi, semasa berita ini ditulis, hujan sekali-sekali turun dengan sangat lebat. dan secara berterusan. Cuaca di sekitar kelihatan sangat redup dan tidak nampak bahawa hujan akan berhenti. Sekali lagi semua penduduk di kawasan-kawasan mudah banjir dinasihatkan lebih berhati-hati dan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dari masa ke semasa.


Karom dalam Sukaneka

Nasyid Kg. Sulup

XPDC Berkayak Pantai Merdeka - Tlk Kumbar

Gotong Royong di Kg. Nelayan