BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH

Tuesday, January 6, 2009

KOMPLEKS MAKANAN TELUK KUMBAR

GEORGETOWN: Kompleks Makanan Teluk Kumbar dekat sini, yang terbiar sejak dua tahun lalu dibangunkan semula sebagai Dewan Serbaguna untuk kemudahan kira-kira 7,000 penduduk setempat. Projek pemulihan bangunan itu dilaksanakan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Kampung Nelayan Sungai Batu membabitkan kos kira-kira RM70,000. Penasihat kelab itu, Dr Azrul Abd Manaf, berkata bangunan milik JKP Sdn Bhd itu akan digunakan sebagai pusat perjumpaan penduduk, selain menganjurkan kegiatan sukan air.
"Kita akan menjadikan kawasan ini sebagai pusat tumpuan ramai dengan membina chalet dan kemudahan untuk sukan air seperti berkenu," katanya ketika ditemui di Kampung Nelayan Teluk Kumbar dekat sini, kelmarin. Beliau berkata, dewan serba guna itu juga boleh digunakan oleh penduduk untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan, mesyuarat dan kegiatan kemasyarakatan lain. "Kami berharap dewan serba guna itu akan dapat memulihkan imej kawasan sekitar yang sebelum ini dikatakan menjadi sarang penagih dadah," katanya.
Sebelum ini, kira-kira 20 peniaga yang beroperasi di kompleks itu 'gulung tikar' kerana menghadapi masalah kewangan kerana perniagaan mereka tidak mendapat sambutan. Ini kerana kompleks yang terletak berhampiran pantai berada dalam keadaan amat menyedihkan. Wakaf yang disediakan juga berada dalam keadaan uzur. Seorang penduduk, Ridzuan Mohd Noor, 42, menyambut baik usaha kelab untuk memulihkan kembali kawasan itu untuk kegunaan orang ramai. "Adalah merugikan apabila kompleks makanan ini terus terbiar sehingga disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Sumber: Berita Harian 5 Januari 2009


Karom dalam Sukaneka

Nasyid Kg. Sulup

XPDC Berkayak Pantai Merdeka - Tlk Kumbar

Gotong Royong di Kg. Nelayan