BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH

Sunday, June 28, 2009

KEM PEMBINAAN SAHSIAH DIRI ANJURAN KSG BKT. GEMUROH






Jitra, 28 Jun - Pejabat Belia dan Sukan Daerah Barat Daya dengan kerjasama Kelab Seri Gemuroh (MAYC) Teluk Kumbar telah menganjurkan Kem Pembinaan Sahsiah Diri pada 27 dan 28 Jun 2009 di Pahlawan Lake Resort, Jitra, Kedah. Kira-kira 90 orang peserta dan urusetia terlibat dalam program yang mengambil masa selama 2 hari satu malam. Pelbagai aktiviti diadakan seperti senamrobik, ceramah, perbengkelan dan aktiviti lasak. Pengerusi KSG, Sdr Aizar Md. Said selaku penyelaras program merasa gembira kerana semua pihak telah memberi kerjasama yang baik bagi menjayakan program tersebut. Kebanyakan peserta telah diperkenalkan dengan aktiviti yang mencabar seperti 'flying-fork', ''abseiling', berakit dan ''lake crossing'. Peserta-peserta terdiri dari golongan remaja lepasan sekolah dari beberapa buah kampung seperti Kg. Sulup, Bandar Baru Perda, Sg. Batu dan Balik Pulau. Semoga peserta-peserta akan kembali dengan membawa suatu perubahan yang positif dalam diri mereka.

Monday, June 8, 2009

PERTANDINGAN FUTSAL ANJURAN PEMUDA DAN KELAB SERI GEMUROH





Pada 7 Jun 2009, Pertandingan Futsal anjuran Pemuda Kg. Sulup, Pemuda UMNO Bukit Gemuroh dan Kelab Seri Gemuroh telah diadakan di Kg. Sulup berhampiran SMK Teluk Kumbar II. Sebanyak 8 buah pasukan telah mengambil bahagian yang rata-rata pemain adalah pemuda-pemuda yang tinggal di kawasan JKKK Bukit Gemuroh.
Pengerusi Pengelola, Sdr Norazli Bahari mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin pertubuhan, pengurus-pengurus pasukan dan pemain-pemain yang telah memberi kerjasama hingga berjaya pertandingan futsal ini. Peruntukan futsal ini dari YB Tuan Syed Amerruddin, ADUN Bayan Lepas telah membolehkan pertandingan futsal ini dianjurkan pada setiap tahun. Majlis Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Sdr Azian Ariffin, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau selepas suatu pertunjukan amal (Futsal) antara pasukan Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau dengan Urusetia Futsal. Dalam ucapan perasmian penutup, sdr Azian menyeru supaya pemuda sentiasa bersatu dan memahami bahawa perpecahan Melayu telah menyebabkan bangsa Melayu dan agama Islam sendiri yang rugi dari bangsa lain. Beliau berharap pemuda sentiasa memberi sokongan kepada pertubuhan bukan sahaja untuk pertandingan futsal malahan dalam kegiatan gotong royong dan lain-lain lagi.

Tuesday, April 28, 2009

PROGRAM MAWADDAH PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 2009






Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Barat Daya dengan kerjasama JKKK(P) Bukit Gemuroh telah menganjurkan Program Mawaddah (Masyarakat Wanita Antidadah) di padang SMK Telok Kumbar 2 pada 24 dan 25 April 2009. Pelbagai acara telah diadakan seperti acara senamrobik, sukaneka, sukan futsal dan bola jaring, pameran pelbagai agensi, persembahan artis, boria dan kumpulan tarian dan band oleh pelajar-pelajar SMK Teluk Kumbar 2. Persembahan boria dari SK Sungai Batu merupakan Johan Persembahan Boria Peringkat Daerah Barat Daya telah menarik perhatian para jemputan. Sebelum itu, Majlis Gotong Royong dan Majlis Bacaan Yaasin telah diadakan pada 16 April 2009 selepas solat Maghrib di surau SMK Telok Kumbar 2 yang disertai oleh ibu bapa dan penduduk serta kakitangan AADK Daerah Barat Daya. Pada 18 April 2009 (Sabtu) ahli-ahli Pertubuhan Wanita Kg. Sulup bersama pegawai dan staf AADK telah mengagihkan brosur dan flyers sebagai salah satu aktiviti kempen dari rumah ke rumah melibatkan beberapa buah kampung sekitar. Kehadiran para pengunjung amat memberangsangkang pada hari kedua terutamanya walaupun cuaca dalam keadaan hujan pada hari itu. Majlis Penutup Program Mawaddah telah disempurnakan oleh wakil Pengarah Pembangunan Negeri Pulau Pinang. Pengarah AADK Negeri dan ADUN Bayan Lepas turut serta dalam majlis tersebut. Melalui Program Mawaddah semua peserta khususnya pemimpin-pemimpin dan ahli pertubuhan wanita dapat memahami bahawa kaum wanita mampu memainkan peranan mereka membantu kerajaan dalam menangani gejala penagihan najis dadah di kalangan anak remaja hari ini.

Saturday, April 18, 2009

HARI KELUARGA WANITA KG. SULUP





Kira-kira 400 ahli dan anggota keluarga ahli Pertubuhan Wanita Kg. Sulup telah menyertai Hari Keluarga yang diadakan pada 19 April 2009 bertempat di Pantai Tanjung Asam, Jalan Gertak Sanggul. Program yang julung kali diadakan itu telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Pelbagai aktiviti telah dirancangkan oleh urusetia seperti tarik tali wanita dan lelaki, lari dalam guni, golek tayar, tangkap belon, pecah belon, tarik kayak, pertandingan mewarna, cari siput dan sebagainya. Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bayan Lepas, YB Tuan Syed Amerruddin Dato' Syed Ahmad sempat bersama menikmati makan tengah hari bersama pemimpin-pemimpin tempatan. Setiap ahli pertubuhan yang hadir akan berpeluang memenangi hadiah bertuah dan cenderamata yang disediakan oleh pertubuhan. Sambutan Hari Keluarga telah bermula jam 8.00 pagi dengan aktiviti pertandingan mewarna dan berakhir pada jam 3.30 petang dengan Majlis Penyampaian Hadiah dan Cabutan Bertuah. Ahli-ahli pertubuhan telah melahirkan rasa gembira dan masing-masing telah meluahkan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Pertubuhan Wanita Qaryah Kg. Sulup mengambil kesempatan ini ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada YB Tuan Syed Amerruddin yang telah sudi memberi peruntukan bagi menjayakan program tersebut.

Wednesday, April 15, 2009

PROGRAM MUWADDAH PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Barat Daya dengan kerjasama JKKK(P) Bukit Gemuroh akan menganjurkan Program Muwaddah di padang SMK Telok Kumbar 2 pada 24 dan 25 April 2009. Pelbagai acara akan diadakan seperti senamrobik, sukaneka, sukan futsal dan bola jaring, pameran, cabutan bertuah, persembahan kebudayaan serta forum. Majlis bacaan Yaasin turut diadakan pada 16 April 2009 selepas solat Maghrib di surau SMK Telok Kumbar 2. Oleh semua pelajar, ibu bapa dan penduduk yang berhampiran dengan surau dijemput hadir.
Jawatankuasa Program akan mengagihkan brosur dari rumah ke rumah pada 18 April 2009 supaya semua penduduk terutama kaum wanita/ibu dapat hadir beramai-ramai ke majlis tersebut. Melalui Program Muwaddah semua peserta yang hadir dan mengambil bahagian akan lebih memahami peranan kaum wanita yang dapat dimainkan dalam usaha kerajaan menangani masalah penagihan najis dadah di kalangan anak remaja hari ini.

Sunday, March 22, 2009

KURSUS KETRAMPILAN DIRI WANITA TAHAP 1






Wanita UMNO Bukit Gemuroh telah mengadakan Kursus Ketrampilan Wanita di premis Kelab Sukan Kg. Nelayan. Kira-kira 40 orang ahli wanita dan puteri turut menghadiri kursus yang diadakan pada hari Ahad yang lalu jam 8.30 pagi dirasmikan oleh Hj. Nordin Ahmad, Pengerusi JKKKP Bukit Gemuroh. Kursus Ketrampilan Wanita berakhir pada jam 1.00 tengah hari dengan ucapan perasmian penutup diberikan kepada Rusli Hashim, Setiausaha JKKKP Bukit Gemuroh. Menurut penyelaras Kursus Ketrampilan Wanita, Hjh Rohila Ismail bahawa Kursus Ketrampilan Wanita tahap 2 akan diadakan pada masa akan datang. Hadiah-hadiah cabutan bertuah telah disampaikan oleh Rahimah Hamad, Ketua Wanita UMNO Cawangan Bukit Gemuroh.

Friday, March 20, 2009

KONVOI BERMOTORSIKAL TELUK KUMBAR-TELUK BATIK











Kelab Seri Gemuroh Teluk Kumbar telah menganjurkan Konvoi Bermotorsikal Teluk Kumbar - Teluk Batik dalam bulan Februari yang lalu. Peserta-peserta konvoi sempat mengadakan lawatan ke asrama anak yatim dan menyampaikan bantuan dan mengadakan gotong royong di asrama tersebut. Kira-kira 30 buat motorsikal telah mengambil bahagian dalam konvoi itu bermula dari Kg. Sulup, Telok Kumbar. Pengerusi Kelab Seri Gemuroh, Aizar Md. Said memberitahu, " Konvoi bermotorsikal seperti ini diadakan untuk merapatkan silaturahim di samping dapat mendisiplinkan mereka semasa di atas jalanraya".
Pengasas penubuhan Kelab Seri Gemuroh Teluk Kumbar, Rusli Hashim telah menyampaikan 'ucapan amanat'nya pada malam itu kepada semua urusetia dan peserta-peserta konvoi. Bekas Pengerusi Kelab Seri Gemuroh, norazli Bahari turut hadir sebagai urusetia program tersebut. Semua peserta konvoi telah selamat kembali ke Pulau Pinang keesokan petangnya.

Saturday, January 17, 2009

Kumpulan Permbangunan Wanita Bukit Gemuroh

Difahamkan Kumpulan Pembangunan Wanita (KPW) Bukit Gemuroh atas nama RNS akan beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi. Permulaannya KPW Bukit Gemuroh ini akan beroperasi di sebelah rumah En. Noorazli Bahari di Jalan Gertak Sanggul, Telok Kumbar. Dengan bantuan kerajaan, KPW Bukit Gemuroh telah menerima beberapa alatan termasuklah peti sejuk, 'oven', 'mixer' dan sebagainya. Ahli-ahli wanita yang terlibat secara langsung ialah Rohila Ismail, Rahimah Hamad, Rahani Othman, Rodziah Haraun dan Suraya Che May. Ahli KPW sedang mendengar tunjuk ajar dari pegawai agensi kaedah mengendali oven. Penubuhan KPW ini merupakan suatu lembaran baru kepada kumpulan wanita kawasan ini agar merebut peluang yang ada untuk memajukan diri dan meningkatkan taraf hidup dan pendapatan keluarga.














Tuesday, January 6, 2009

KOMPLEKS MAKANAN TELUK KUMBAR

GEORGETOWN: Kompleks Makanan Teluk Kumbar dekat sini, yang terbiar sejak dua tahun lalu dibangunkan semula sebagai Dewan Serbaguna untuk kemudahan kira-kira 7,000 penduduk setempat. Projek pemulihan bangunan itu dilaksanakan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Kampung Nelayan Sungai Batu membabitkan kos kira-kira RM70,000. Penasihat kelab itu, Dr Azrul Abd Manaf, berkata bangunan milik JKP Sdn Bhd itu akan digunakan sebagai pusat perjumpaan penduduk, selain menganjurkan kegiatan sukan air.
"Kita akan menjadikan kawasan ini sebagai pusat tumpuan ramai dengan membina chalet dan kemudahan untuk sukan air seperti berkenu," katanya ketika ditemui di Kampung Nelayan Teluk Kumbar dekat sini, kelmarin. Beliau berkata, dewan serba guna itu juga boleh digunakan oleh penduduk untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan, mesyuarat dan kegiatan kemasyarakatan lain. "Kami berharap dewan serba guna itu akan dapat memulihkan imej kawasan sekitar yang sebelum ini dikatakan menjadi sarang penagih dadah," katanya.
Sebelum ini, kira-kira 20 peniaga yang beroperasi di kompleks itu 'gulung tikar' kerana menghadapi masalah kewangan kerana perniagaan mereka tidak mendapat sambutan. Ini kerana kompleks yang terletak berhampiran pantai berada dalam keadaan amat menyedihkan. Wakaf yang disediakan juga berada dalam keadaan uzur. Seorang penduduk, Ridzuan Mohd Noor, 42, menyambut baik usaha kelab untuk memulihkan kembali kawasan itu untuk kegunaan orang ramai. "Adalah merugikan apabila kompleks makanan ini terus terbiar sehingga disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Sumber: Berita Harian 5 Januari 2009

Friday, January 2, 2009

Pendapatan Nelayan Kecil dari Telok Kumbar dan Sungai Batu Terjejas!!


Jambatan Kedua Pulau Pinang berharga RM3 bilion, iaitu salah satu projek penting di bawah RMK-9, yang menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di bahagian pulau dijangka siap pada 2011 dan ia bakal menjadi pemangkin utama kepada pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Apabila siap kelak, jambatan sepanjang 24 kilometer itu dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang dan merupakan jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan antara 10 terpanjang di dunia.


Dalam ruangan ini, saya bagi pihak nelayan-nelayan kecil pantai di Telok Kumbar dan Sungai Batu ingin melahirkan rasa kecewa kerana pendapatan dari hasil penangkapan ikan semakin terjejas. Hasil tangkapan semakin kurang hingga ada di antara mereka sudah tidak ke laut kerana tidak mahu terus menanggung kerugian.

Menurut salah seorang nelayan yang ditemui berkata, " Macam mana kita nak tahan pukat, kapal pengangkut sentiasa menggunakan laluan dekat, kawasan nelayan menangkap ikan". Beliau memberitahu bahawa kapal-kapal pengangkut ini kira-kira 8 buah sepatutnya melalui laluan tengah laut, bukan menghampiri pulau Kendi dan Pulau Rimau. Inilah kawasan tangkapan nelayan-nelayan pantai di sini. Dan difahamkan bahawa ada kapal-kapal pengangkut membuang lumpur ke dalam laut semasa melalui di situ.

Oleh itu saya bagi pihak nelayan di kawasan ini merayu agar pihak-pihak berkuasa berkaitan dengan isu ini dapat mengambil tindakan yang sewajarnya. Mereka telah lama bersabar dan tindakan kapal-kapal yang menggunakan laluan singkat (short-cut) seolah-olah merampas kawasan tangkapan tradisi mereka sejak sekian lama. Pihak kontraktor, Jabatan Laut, Jabatan Alam Sekitar, Polis Marin dan Persatuan Nelayan perlu mengambil langkah menangani masalah ini supaya nasib nelayan-nelayan dan keluarga mereka terbela. Golongan nelayan kecil ibarat kata pepatah Melayu, "Kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petang" perlu mendapat pembelaan segera dari semua pihak yang bertanggungjawab.


Karom dalam Sukaneka

Nasyid Kg. Sulup

XPDC Berkayak Pantai Merdeka - Tlk Kumbar

Gotong Royong di Kg. Nelayan