BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH

Tuesday, September 30, 2008

Lagi Berita Banjir Di Kawasan Teluk Kumbar

TELUK KUMBAR 30 Sept. - Keadaan banjir semakin bertambah buruk terutama di kawasan Kg. Masjid berhampiran Perumahan Bandar Baru Perda dan SK Seri Bayu. Hasil lawatan bersama YB Tuan Syed Amerruddin Dato Syed Ahmad, ADUN Bayan Lepas pada jam 11.45 pagi tadi, kebanyakan rumah penduduk di kawasan kampung berkenaan ditenggelami air sekitar 2.5 kaki hingga 3.5 kaki tinggi. Kejadian banjir kali kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan. Kejadian banjir kali pertama berlaku pada tahun ini pada 5 September 2008 yang lalu. Banyak rumah di beberapa buah kampung terlibat dengan banjir besar itu.
YB Syed Amerruddin Dato' Syed Ahmad sempat melawat mangsa banjir di Kg. Nelayan dan Kg. Masjid. Beberapa orang penduduk telah mengemukakan pandangan punca kejadian banjir. Di samping kejadian hujan lebat yang 'luar biasa', masalah perparitan yang sempit telah menyumbangkan kejadian limpahan air ke kawasan-kawasan rendah sekitar parit dan sungai. Dalam masa yang sama, YB Syed Amerruddin telah menghubungi Bilik Gerakan Banjir Daerah Barat Daya untuk mengetahui jenis bantuan yang boleh diberikan kepada keluarga mangsa banjir. Berdasarkan maklumat dari Bilik Gerakan Daerah, pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat akan memberi bantuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir.
Walau bagaimanapun, paras air semakin surut mulai jam 12.30
tengah hari setelah hujan mulai turun renyai dan berhenti dalam tempoh yang agak lama. Jika keadaan ini berterusan, kenaikan paras air laut yang mulai pasang tidak akan begitu membimbangkan penduduk sekitar sungai.
Difahamkan hujan yang berterusan dengan lebat sejak awal pagi tadi juga menyebabkan kejadian banjir di beberapa buah kampung seperti Kg. Padang, Kg. Seronok, Kg. Manggis, Kongsi di Balik Pulau.
Menurut seorang penduduk tempatan yang ditemui kejadian banjir besar pernah berlaku sebelum ini pada 5 Sept.1996 dan pada tahun ini dalam tempoh bulan Ramadan telah berlaku sebanyak dua kali iaitu 5 Sept. 2008 dan 30 Sept. 2008. Beliau memahami bahawa segala kejadian yang berlaku ini, salah satu ujian Allah s.w.t kepada kita yang akan mengakhiri sebulan berpuasa keesokannya.






















Penduduk bimbang: Hujan yang lebat secara berterusan sejak semalam.

Jam 2.45 pagi semalam, Pengerusi dan Setiausaha JKKKP Bukit Gemuroh dan bersama beberapa AJK dari Kg. Sulup dan Kg. Nelayan masih meninjau keadaan kawasan mudah banjir di kampung-kampung kawasan JKKKP Bukit Gemuroh seperti Kg. Sulup dan Kg. Nelayan. Beberapa buah rumah di Kg. Nelayan, kelihatan penduduk telah bersiap sedia menyelamatkan motorsikal dan peralatan rumah masing-masing. Air deras dari Sungai Teluk Kumbar dan Sungai Kg. Sulup telah mulai melimpahi di kawasan-kawasan rendah sekitar sungai-sungai berkenaan. Keadaan air laut yang masih pasang ketika itu boleh memburukkan lagi keadaan banjir kilat.
Pada jam 9.00 pagi ini, hujan didapati turun dengan amat lebat kira-kira 30 minit. Oleh kerana air laut keadaan surut ketika ini menyebabkan limpahan air sungai tidak berlaku. Walau bagaimanapun, Pengerusi JKKK(P) Bukit Gemuroh, Hj. Nordin Ahmad telah menghubungi JPS Daerah Barat Daya supaya pihak berkenaan dapat memantau dan memeriksa pintu air di kuala Sungai Teluk Kumbar agar berfungsi dengan baik. Semua penduduk dinasihatkan agar bersabar terutama dalam bulan Ramadan ini mungkin ini suatu ujian Allah swt. dan sentiasalah dalam keadaan berjaga-jaga agar dokumen-dokumen penting dan harta-harta yang berharga dalam keadaan yang selamat. JKKKP Bukit Gemuroh akan sentiasa memantau perkembangan agar bantuan awal dapat dilakukan serta merta.
Semasa pemimpin-pemimpin JKKK(P) Bukit Gemuroh meninjau perkembangan banjir di kawasan berkenaan, ada beberapa penduduk merungut berkaitan dengan bantuan mangsa banjir. Banyak lagi keluarga mangsa banjir yang lalu belum menerima sebarang bantuan banjir yang telah diberikan oleh PKR atau kerajaan negeri sebanyak RM80.00 kepada setiap keluarga mangsa banjir. Dari sumber yang lain menyatakan wang sebanyak itu diberikan sebagai duit raya. Persoalannya kenapa duit raya itu diberikan kepada mangsa-mangsa banjir sahaja yang menjadi penyokong parti PR.
Sehingga jam 10.30 pagi, semasa berita ini ditulis, hujan sekali-sekali turun dengan sangat lebat. dan secara berterusan. Cuaca di sekitar kelihatan sangat redup dan tidak nampak bahawa hujan akan berhenti. Sekali lagi semua penduduk di kawasan-kawasan mudah banjir dinasihatkan lebih berhati-hati dan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dari masa ke semasa.

Friday, September 19, 2008

Anak Keluarga Miskin Terima Sumbangan Raya

Pada 4 September 2008, kira-kira 25 orang anak-anak fakir miskin dan yatim piatu di kawasan JKKK(P) Bukit Gemuroh telah menerima sumbangan zakat dari sebuah perbadanan milik kerajaan. Pengerusi JKKK(P) kawasan ini, Tn Hj. Nordin Ahmad dengan bantuan AJKnya telah berjaya mengesan anak-anak yang kurang bernasib baik ini. Mereka di bawa dengan dua buah van dan sebuah kereta untuk ke Majlis Berbuka Puasa yang dianjurkan syarikat tersebut di adakan di kawasan Jeti ke Jerjak Resort. Para tetamu dan kanak-kanak yang hadir rasa sungguh gembira kerana dapat berbuka puasa dan menjamu selera di samping pulang dengan membawa wang hari raya yang disampaikan oleh pihak syarikat pada petang itu juga. Salah seorang kanak-kanak yang menerima sumbangan pada hari itu berkata," Saya rasa seronok hari raya tahun ini kerana menerima sumbangan untuk persiapan hari raya yang semakin hampir. Terima kasih kepada syarikat dan hanya tuhan sahajalah yang dapat membalas budi baik mereka".

Thursday, September 18, 2008

Bintang Besar 'Ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri'






Semalam jam kira-kira 1.00 pagi, Ketua Pemuda UMNO Bukit Gemuroh, Sdr Yaris Md. Noor dan beberapa rakan pemuda telah berjaya meletakkan bintang yang berukuran 4.30 meter setelah beberapa hari bertungkus-lumus menyiapkannya. Perbelanjaan membina bintang sebesar itu dianggarkan sebanyak RM200.00 hasil sumbangan para pemuda dan belia kawasan ini. Mereka begitu bersemangat dengan sokongan dan kerjasama padu semua pihak memastikan 'Bintang Besar' anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bukit Gemuroh itu dapat disiapkan dan dinaikkan pada malam itu juga. Sekalung penghargaan tahniah dan terima kasih patut diberikan kepada semua pemuda dan belia yang telah menjayakan projek 'Bintang Besar' itu.

Sunday, September 14, 2008

MANGSA BANJIR BESAR DI TELUK KUMBAR PERLU BANTUAN

Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak minggu lalu berikutan hujan lebat selama 10 jam disifatkan sebagai yang paling buruk sejak 14 tahun lepas. Sebenarnya satu ujian Allah swt kepada pemerintahan Pakatan Rakyat. Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Kg. Suluk, Kg. Nelayan dan Kg. Masjid di Telok Kumbar.

Penduduk di kawasan ini jadi huru-hara. Pengerusi dan AJK JKKK Negeri yang dilantik tidak dikenali penduduk. Kebanyakan mereka yang dilantik difahamkan adalah 'orang luar' yang membeli rumah dan menetap di kawasan-kawasan perumahan. Bantuan awal makanan untuk berbuka puasa agak lewat. Ada pemimpin JKKK Negeri tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan bantuan apa yang perlu diberi dan peruntukan dari mana yang boleh diperolehi.

Nasib baiklah, ada bantuan awal makanan dari UMNO dan Qaryah Masjid Teluk Kumbar sendiri. Tetapi ada juga suara-suara sumbang dari pemimpin JKKK Negeri yang tidak tahu berterima kasih malahan dikecam kerana memberi bantuan agak lewat.

Sepatutnya semasa situasi kecemasan dan bencana alam seperti ini, semua pemimpin perlu bangun membantu bukan mencari kesalahan orang lain. Semasa ini kita perlu bersedia menghulurkan sebarang bantuan tanpa mengira ideologi politik kerana yang menjadi mangsa adalah mereka yang sebangsa dan seagama dengan kita. Walaubagaimana pun pujian perlu juga diberikan kepada JKKK Negeri yang bersedia membuat pendaftaran mangsa-mangsa banjir di dewan pada malam tersebut.

Sebenarnya pemimpin JKKK Negeri perlu banyak belajar dan bersabarlah menghadapi dugaan pertama ini. Dalam keadaan kelam kabut sudah pasti akan ada pihak yang tak berpuas hati dan ada pihak yang berkecil hati.

JKKK Persekutuan bersedia membantu dan bekerjasama dengan JKKK Negeri jika perlu bagi memastikan nasib mangsa bencana alam mendapat pembelaan sewajarnya. Janganlah kita banyak berpolitik hingga kita terlupa tugas dan tanggungjawab sebenarnya sebagai pemimpin yang diamanahkan oleh rakyat.

Dari tinjauan rambang di dapati mangsa banjir masih belum menerima sebarang bantuan dari mana-mana agensi kerajaan pusat mahu pun kerajaan negeri walaupun ketua isi rumah telah membuat laporan polis dan didatarkan dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat.



Karom dalam Sukaneka

Nasyid Kg. Sulup

XPDC Berkayak Pantai Merdeka - Tlk Kumbar

Gotong Royong di Kg. Nelayan